Business Venture

HERO TO ZERO

 Suhaimi Abas - Founder Otai Burger



“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”  Inilah bidalan yang sesuai taktala menyoroti perjalanan hidup seorang usahawan berjaya, Suhaimi Abas. Beliau yang lebih dikenali sebagai Mie Otai adalah merupakan pengasas franchais berjenama OTAI (Organisasi Tempat Ambil Ilmu). Anak muda  kelahiran Pantai Remis, Perak ini kini sudah mampu menarik nafas lega di atas usaha gigih dan berkat sabar yang beliau curahkan hampir 23 tahun di dalam bidang perniagaan yang diceburinya ini.

Permulaan Suhaimi Abas di dalam bidang perniagaan bukanlah mudah seperti yang disangka. Seawal usia 17 tahun, beliau sanggup mengorbankan masa muda remajanya demi memenuhi impian dan falsafah kehidupannya.

"Melahirkan Usahawan Adalah Perjuangan Hidup Aku.” Inilah pegangan hidup Suhaimi Abas yang akhirnya mampu membantu usahawan muda dalam bidang perniagaan.

Antara pencapaian yang menjadi kebanggaan bapa kepada dua anak ini ialah perkembangan rangkaian Burger OTAI yang mencecah 200 kiosk di sekitar lembah Klang. Matlamat beliau dalam melahirkan lebih ramai usahawan muda terus menjadi misi utamanya sehingga kini.

Bersandarkan kata-kata semangat yang diterima oleh Pensyarah Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr. Anuddin Abdul Ghani yang dianggapnya sebagai seorang mentor, kini Suhaimi Abas tidak lagi menoleh kebelakang. Pelbagai inisiatif telah beliau rancang khas untuk bakal usahawan yang berminat menceburi bidang perniagaan berasaskan ‘franchising’. Antara usaha beliau dalam membantu bakal usahawan ialah dengan mewujudkan Pusat Latihan Usahawan Otai (PLUO), membuat dan membekal kiosk serta peralatan burger dan membantu dalam soal pengurusan modal permulaaan peniagaan dengan beberapa agensi kerajaan antaranya MARA, TEKUN, PUNB dan SME Bank.

Pengalaman jatuh bangun beliau di dalam perniagaan kacang rebus, berniaga buah-buahan dan menjual permainan kanak-kanak dirasakan begitu berharga sehinggakan beliau turut sama berkongsi pengalaman dan memberikan khidmat sokongan nasihat kepada bakal usahawan selama dua tahun melalui pusat latihannya. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Otai Francise Sdn Bhd ini juga begitu menekankan tiga aspek penting untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan iaitu penguasaan ilmu sumber manusia, ilmu perakaunan dan juga kaedah pemasaran yang berkesan. Ini semua bukanlah mudah untuk dikongsi melainkan beliau memiliki semangat yang waja dan ingin melihat lebih ramai usahawan muda dilahirkan.

Kejayaannya meraih pendapatan purata sekitar RM17,000 hingga RM18,000 sebulan melalui kedai burger membuka mata banyak anak-anak muda untuk turut sama merasai kemanisan berniaga. Berkat kesungguhan beliau dalam membantu melahirkan usahawan berjaya, usaha beliau menerima pengiktirafan apabila antaranya dipilih memenangi Anugerah Usahawan Muda Malaysia oleh PERMATA UM dan Dewan Muda Perniagaaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur pada Disember 2011.

Kejayaan Suhaimi Abas di dalam bidang perniagaan burger dengan hanya modal permulaan RM100 membenarkan peribahasa Melayu, “yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang.” Semuanya mampu dicapai dengan kerja keras dan usaha berterusan sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Suhaimi Abas.

Rujukan

http://www.malaysiaresume.com/Resume/Suhaimi-Abas.aspx