Hero to Zero


Butik Ariani 


Ketika melangkah masuk ke Wisma Jakel di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, kelibat seorang gadis ayu bertudung persis seorang model asyik menggunting kain. Selepas itu dibeleknya kain dan tudung satu persatu. Setiap pelanggan di depan matanya pula pasti tidak terlepas daripada sapaannya – sama ada bertanyakan apa dicari atau meminta kakitangan Jakel membantu pelanggan tadi.

Malah, boleh dikatakan setiap saat atau detik, wanita cantik itu tidak duduk diam, ada saja kerja atau aktiviti dilakukannya. Begitulah rutin harian Farah Haryani Muhammad Philip, pemilik Butik Ariani yang terkenal dengan tudung Ekin (isteri kepada penyanyi Mawi itu dilantik sebagai Duta Ariani) apabila sibuk menguruskan perniagaannya bersama suami, Mohamed Faroz Mohamed Jakel yang juga Pengarah Urusan Jakel.

Sebagai wanita bertuah yang bersuamikan usahawan terkemuka dalam bidang fabrik, situasi itu membolehkannya duduk di rumah dan ‘goyang kaki’. Namun kata ibu kepada dua cahaya mata itu, beliau sedar dirinya bukan daripada keluarga mewah dan bukan juga hidup susah, kerana itu dia perlu bekerja keras. “Hidup saya adik-beradik sederhana saja. Meskipun ayah meninggal ketika usia enam tahun, ibu banyak berkorban mencari rezeki dan membesarkan kami.

“Kini, suami pula bekerja keras untuk saya sekeluarga. Dia memang kuat bekerja tetapi tidak abaikan saya dan anak. Lagipun, saya bosan duduk rumah. Jika tolong suami, masa terluang dapat diisi,” katanya. Ditanya tidakkah statusnya sebagai isteri kepada ‘bos besar’ atau orang nombor satu dalam Jakel merendahkan martabatnya apabila bekerja seperti kakitangan lain, Farah berkata, dia tidak berfikiran begitu.

“Pernah ada pelanggan yang tahu saya isteri Faroz bertanya kenapa saya perlu bekerja lagi, tetapi saya jawab, saya lebih suka begini (bekerja seperti kakitangan lain).
“Sebenarnya, saya tidak diajar untuk mendesak atau menuntut kemewahan. Saya sedar saya bukan daripada keluarga senang, tetapi kesukaran ibu membesarkan kami memberi pengajaran berguna kepada saya,” katanya merendah diri.

Di syarikat, Farah lebih selesa menggelar dirinya ‘Kak Farah’ atau ‘Farah’. Meskipun tidak dinafikan ada keistimewaan sebagai isteri orang nombor satu, termasuk waktu bekerja, Farah pulang ke rumah apabila operasi perniagaan tamat jam 8.30 malam – seperti kakitangan lain. “Saya ke kedai jam 10 atau 11 pagi sehingga kedai tutup. Sabtu dan Ahad pula bukan waktu cuti kerana pada hari itu ramai pelanggan. Cuti saya antara Isnin hingga Jumaat.

“Suami pula memang sibuk dan kerap berulang-alik dari Segamat, Johor ke Kuala Lumpur, manakala saya lebih banyak masa di sini. Begitupun, bila ada kerja luar, kami pergi bersama dan bawa anak. Jadi, masa itu masa kami sekeluarga,” katanya. Menurutnya, dia bahagia dengan kehidupannya hari ini, apatah lagi didedahkan dengan keadaan itu sejak kecil.

Farah berkata, selepas bapanya, Muhammad Philip Abdullah, meninggal dunia, mereka adik-beradik dibesarkan ibu, Khuzaimah Abdullah hasil peninggalan ladang kelapa sawit bapanya di Batu Pahat.
“Ayah meninggal kerana sakit tua, namun dia ada ladang kelapa sawit. Ketika ayah bekerja sebagai pengurus lombong di Seri Medan, kami sekeluarga hidup sederhana. “Namun selepas ayah tiada, emak terpaksa ambil alih tanggungjawab ayah. Daripada tiada lesen memandu, emak berjaya memperolehnya.

“Mengenai akademik, emak mementingkannya, malah dia tidak membenarkan saya bekerja meskipun ketika menuntut di universiti kerana mahu saya belajar, walaupun dia tidak berpendidikan tinggi,” katanya yang menjadikan ibunya sebagai idola. Berikutan penekanan diberi ibunya, Farah cemerlang dalam akademik sehingga berjaya memasuki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan mengambil jurusan Pengajian Bahasa Inggeris.
“Sejak kecil hingga besar, saya dididik untuk belajar sama ada mengaji, pergi tuisyen dan sekolah agama. Rotan perkara biasa kerana emak mahu kami berjaya. Berkat didikan emak, saya berjaya ke UTM dan layak mengambil bidang kejuruteraan, namun kerana emak minat perguruan, saya ambil bidang itu,” katanya. Selepas tamat pengajian, Farah bergelar pendidik dan ketika menunggu penempatan, dia berkenalan dengan Mohamed Faroz pada 2002 sebelum kedua-duanya mengambil keputusan berkahwin pada 2003.

Selepas berkahwin, Farah bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Tinggi Segamat dan pada masa sama membantu syarikat suaminya. “Cuti sekolah atau hujung minggu, saya bantu suami di kedai. Lama kelamaan timbul minat dalam bidang ini dan pada 2007, saya ambil keputusan berhenti kerja.

“Pada mulanya berbelah bagi juga, tetapi saya nekad dan yakin dengan keputusan dibuat. Kebetulan selepas berhenti, cawangan di Masjid India ini dibuka dan saya bantu suami menguruskan kerja di sini,” katanya. Dalam pada sibuk bekerja, terdetik idea untuk Farah menghasilkan tudung. Katanya, ramai wanita yang memakai tudung mahu kelihatan cantik tetapi tidak tahu caranya.

Pada 2008, lahir Butik Ariani dengan pelbagai koleksi tudung, terutama yang menjadi jenamanya, Tiara. Meskipun boleh dikatakan baru setahun jagung, lebih 200 koleksi atau jenis tudung dijual dan butik itu semakin dikenali ramai.
Rujukan
http://usahawan-kreatif.blogspot.com/2010/10/butik-ariani.html